Gabungan Dakwah Malaysia Perkasakan Mualaf Wanita

22 Januari 2022 (Sabtu) – Alhamdulillah, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) telah berjaya menganjurkan Program Pemerkasaan Mualaf Wanita 2022 yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan yang dihadiri lebih 70 orang mualaf wanita. Program ini adalah anjuran bersama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Siti Group, Bank Rakyat, Masjid Wilayah Persekutuan, GIATMARA, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Lembaga Tabung Haji dan juga Restoran Mohd Chan.

Tujuan utama program ini adalah untuk memberi motivasi kepada mualaf wanita untuk berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri di samping meningkatkan kefahaman asas ilmu agama. Oleh itu, GDM telah menjemput panel-panel berpengalaman dari pelbagai agensi yang dapat membantu pemerkasaan mualaf wanita dan juga membuka ruang-ruang bantuan yang disediakan buat mereka.

Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Che Aniza Mohd Zain, Timbalan Pengerusi GDM juga selaku pengarah program. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Ustaz Mohd Saiful Hafiz Vijia Bin Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Baitulmal mewakili YBhg. Ustaz Mohd Nizam Yahya selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.

Terdapat 6 slot yang padat telah dilaksanakan bagi memberi penerangan dalam memperkasakan mualaf wanita. Slot 1 dimulakan oleh Ustaz Saiful Hafiz Vijia Abdullah dengan tajuk Peranan MAIWP kepada mualaf..Slot 2 disampaikan oleh Puan Nurul Azimah Binti Mohd Ani, Pengarah GIATMARA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Penerangan Puan Azimah berkenaan peluang-peluang latihan kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan oleh GIATMARA kepada mualaf wanita.

Slot 3 adalah sesi bersama Tabung Haji yang disampaikan oleh Tuan Mohamad Seth Bin Lokman, Pengurus Cawangan Tabung Haji KL Sentral dengan tajuk bagaimana membuat akaun Tabung Haji dan mengapa saya perlu ada akaun Tabung Haji..Sebelah petangnya disambung dngan slot 4 yang disampaikan oleh Dr. Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Binti Abdullah, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan tajuk Fiqh Wanita.

Slot 5 oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang disampaikan oleh Puan Alwani Safiei, Pengurus Kanan bahagian Operasi Lapangan. Beliau telah kongsikan pelbagai jenis pinjaman mikro yang boleh dipohon oleh wanita mualaf. AIM juga mempunyai sistem sokongan yang membantu peminjam untuk terus meningkatkan perniagaan dan sentiasa mampu untuk membuat pulangan pinjaman.

Slot terakhir iaitu slot 6 oleh Brother Muhammad Roger James Arnold merupakan Pengerusi Persatuan Inspirasi Muallaf (PIM). Slot ini adalah slot motivasi dalam menaikkan semula semangat mualaf dengan tajuk Bangkit Berjaya Dunia Akhirat 2022. .Diantara slot diselitkan dengan sesi soal jawab, kuiz dan cabutan bertuah yang mana hadiah-hadiah yang disediakan adalah daripada sumbangan pelbagai pihak yang merasakan tanggungjawab membantu golongan mualaf.

Program diakhiri dengan ucapan penutup oleh Tuan Hj. Ir. Wan Ahmad Nizar Bin Zakaria, Pengerusi GDM.

Terima Kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga usaha ini diberkati dan dapat memberikan banyak kebaikan kepada mualaf wanita dan juga memperkasakan mereka, lalu meningkatkan profil mualaf di mata keluarga dan kaum mereka di masa hadapan.

Penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada institusi yang menjayakan program ini.

1. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)

2. Siti Group

3. Bank Rakyat

4. Lembaga Tabung Haji

5. GIATMARA

6. Restoran Mohd Chan

7. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)

8. Perkim Kebangsaan

9. Kompleks Darul Hidayah Sentul, JAWI

10. NGO-NGO Naungan GDM

Jam’iyah Selangor & Wilayah Persekutuan

MACMA KL

Hidayah Centre Foundation

– Persatuan Inspirasi Muallaf

Persatuan Darul Fitrah Malaysia

– Al-Hidayah

– Mira Msia

和平华人穆斯林协会 He-Ping Chinese Muslim Society

– MyPUMA

#GDM#PPMW2022