PERUTUSAN PENGERUSI GABUNGAN DAKWAH MALAYSIA SEMPENA BULAN MAULIDUR RASUL 1442H/2020

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat kurniaan-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda.

Menjelang bulan Rabiulawal setiap tahun, umat Islam seluruh negara akan menyambut sambutan Maulidur Rasul SAW. Sambutan ini diadakan bagi menzahirkan perasaan kasih sayang dan sanjungan tinggi kepada kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad SAW.

Sirah Rasullullah SAW dalam membentuk negara Madinah, memperlihatkan kepada ummat manusia erti pengorbanan dan perpaduan dalam mewujudkan persefahaman tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

Keindahan Islam diperlihatkan kepada masyarakat dunia melalui ketinggian akhlak mulia Rasullullah SAW dalam kehidupan seharian serta sifat kasih sayang dan toleransi Baginda. Orang Islam yang awalnya minoriti di Madinah telah bertukar menjadi majoriti kerana Islam dianuti atas kekuatan dan kebaikan akhlak yang terpuji di kalangan penganutnya.

Oleh itu, menghayati dan mencontohi sunnah Rasullullah SAW merupakan lambang kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Bersempena dengan tema Maulidur Rasul tahun ini “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) ingin melancarkan Kempen Kenalilah Nabi Muhammad SAW. Kempen ini akan berlangsung selama satu bulan iaitu bermula pada 15 Oktober sehingga 16 November 2020.

Kempen ini bertujuan menggembleng semua pihak untuk menjalankan dakwah kepada masyarakat majmuk secara tersusun sempena bulan Maulidur Rasul SAW. Kempen ini juga bertujuan memperbetulkan salah faham terhadap Islam di kalangan masyarakat majmuk dan menjadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikon ikutan dalam semua aspek kehidupan.

GDM bersama dengan NGO-NGO Islam akan mengadakan program-program yang menarik sepanjang satu bulan kempen.

Semoga kempen ini dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat Malaysia.

Sekian terima kasih.

Ir Hj. Wan Ahmad Nizar Zakaria
Pengerusi
Gabungan Dakwah Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *