PPM Pahang 2023

𝗣𝗥𝗢𝗚𝗥𝗔𝗠 𝗣𝗘𝗠𝗘𝗥𝗞𝗔𝗦𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗨𝗔𝗟𝗔𝗙 𝗣𝗔𝗛𝗔𝗡𝗚 𝟮𝟬𝟮𝟯

24 Jun 2023 (Sabtu) – Alhamdulillah, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) bersama Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah berjaya menganjurkan Program Pemerkasaan Mualaf Pahang 2023 yang diadakan di Swiss-Belhotel Kuantan selama 2 hari (24-25 Jun 2023). Program ini yang dihadiri seramai 98 orang Mualaf bagi negeri Pahang adalah kerjasama daripada NGO naungan GDM Pahang antaranya Hidayah Centre Foundation (HCF) Pahang, Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Pahang, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Pahang, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) Pahang, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Pahang, Angkatan Dakwah Antarabangsa Malaysia (ADAM) Pahang dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang.
 
Tujuan utama program ini adalah untuk memberi motivasi kepada Mualaf untuk berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri di samping meningkatkan kefahaman asas ilmu agama. Oleh itu, GDM telah menjemput panel-panel berpengalaman dari pelbagai agensi yang dapat membantu pemerkasaan Mualaf dan juga membuka ruang-ruang bantuan yang disediakan buat mereka.
Program ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan serta taklimat pengenalan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang telah disampaikan oleh En Chris Lim Cheng Wei, Pegawai Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Beliau memberi penerangan peranan MUIP dan aktiviti yang telah dianjurkan oleh MUIP. Seterusnya ucapan taklimat program disampaikan oleh Ir. Hj. Wan Ahmad Nizar Zakaria, Pengerusi GDM Pusat. Dalam ucapan beliau, beliau amat berbesar hati program ini disahut baik oleh MUIP dan merupakan negeri pertama yang melaksanakan Program Pemerkasaan Mualaf pada tahun 2023 selepas daripada 4 program Pemerkasaan Mualaf pada tahun lepas yang telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, Kelantan, Kedah dan Sabah. 
Terdapat 7 slot yang padat telah dilaksanakan bagi memberi penerangan dalam memperkasakan Mualaf. 
 
Slot 1 dimulakan dengan Sesi Motivasi oleh Bro Ir. Azhar Soo Helmi Abdullah, Setiausaha Agung (GDM). Beliau menceritakan bagaimana untuk berjaya selepas memeluk Islam serta cara berdepan dengan masalah yang dihadapi oleh Mualaf.
Slot 2 disampaikan oleh En Syamsul Ridzwan Bin Yusof, Pengurus GIATMARA Kuantan. Penerangan ini adalah bertujuan untuk memberi informasi peluang-peluang latihan kemahiran dan keusahawanan yang disediakan oleh GIATMARA.
Slot 3 iaitu Sesi Bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) oleh En Wan Mahazeli bin Wan Tahir, Penolong Pengurus Wilayah, AIM Wilayah Pahang Beliau telah kongsikan pelbagai jenis pinjaman mikro yang boleh dipohon oleh Mualaf khususnya wanita. AIM juga mempunyai sistem sokongan yang membantu peminjam untuk terus meningkatkan perniagaan dan sentiasa mampu untuk membuat pulangan pinjaman.
Slot 4 adalah Sesi Bersama Tabung Haji (TH) oleh Tuan Haji Jamalunasir Bin Mohd Alias, Ketua Pemasaran, TH Negeri Pahang. Beliau memberi pendedahan kepada Mualaf bagi melaksanakan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan Haji. Hal ini kerana urusan menunaikan haji dikelola oleh Tabung Haji.
Slot 5 diadakan pada malam hari iaitu slot ASARA-PK (Teknik-Teknik Berdakwah yang Berkesan) oleh Encik Wan Muhammad Bin Wan Ibrahim, Pengarah Jabatan Pengurusan Daie, Hidayah Centre Foundation (HCF). Dalam slot ini, peserta dibimbing bagaimana teknik-teknik mudah berdakwah kepada kenalan bukan Islam.
Hari kedua disambung dengan slot 6 iaitu Bersama Unit Pembiayaan Zakat oleh Ustaz Sollehi Bin Zakaria, Pembantu Hal Ehwal Islam, Unit Pembiayaan Zakat MUIP. Ustaz menerangkan kepada peserta tentang faedah dan agihan zakat.
Slot yang terakhir iaitu slot 7 bertajuk Ganjaran Sebagai Ibu Bapa yang disampaikan oleh Dr. Hasiah Binti Mat Saleh, Pensyarah Kanan, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS). Dalam slot ini antara yang dikongsikan adalah teknik-teknik berkomunikasi dengan anak-anak serta bagaimana cara untuk menjadi ibu bapa yang terbaik dan yang paling penting ganjaran menjadi ibu bapa.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Hairi Bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif, MUIP. Dalam ucapan beliau, beliau menyokong usaha-usaha yang telah dijalankan bagi memperkasakan Mualaf di Negeri Pahang.
 
Para peserta juga telah disediakan penginapan yang ditaja oleh MUIP. Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga usaha ini diberkati dan dapat memberikan banyak kebaikan kepada Mualaf dan juga memperkasakan mereka, lalu meningkatkan profil Mualaf di mata keluarga dan kaum mereka pada masa hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *