Kuala Lumpur, 22 Disember – Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) telah menganjurkan Konvensyen Dakwah Kebangsaan 2019 pada hari Ahad baru-baru ini di Kuala Lumpur International Hotel. Lebih 150 orang pendakwah daripada pelbagai organisasi seluruh negara telah hadir dalam konvensyen yang diadakan seharian ini.
Yang Berusaha Al-Fadhil Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, Yang Dipertua YADIM telah menyampaikan ucaptama ketika sesi pagi Konvensyen Dakwah Kebangsaan dijalankan. Antara yang ditekankan dalam ucapan beliau adalah mengenai kepentingan menguasai juga mempelajari al-quran buat para pendakwah. Tuan Haji Nicholas Sylvester yang merupakan Pengerusi Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) turut menyampaikan kata-kata aluan di majlis tersebut.
Sesi pembentangan laporan perjalanan dakwah sepanjang tahun 2019 juga telah diadakan pada konvensyen tersebut. Para peserta turut berpeluang berkongsi pendapat & bertanyakan soalan sepanjang sesi konvensyen ini diadakan.
Pada sesi petang, Konvensyen Dakwah Kebangsaan 2019 ini telah dirasmikan dengan jayanya oleh Tuan Haji Ruslan bin Said, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat & Haji bagi mewakili YB Puan Hajjah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).
Tuan Haji Ruslan turut berkenan menyampaikan anugerah tokoh pendakwah pelbagai etnik kepada 20 orang penerima anugerah. Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) telah memilih untuk mengiktiraf tokoh pendakwah untuk tujuh etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak, Orang Asli & Punjabi. 3 orang pendakwah yang merupakan staff Hidayah Centre Foundation telah dipilih untuk menerima anugerah tokoh pendakwah ini iaitu Tuan Hj Abdul Rahman Kassim, Joanes Lukas & Puan Nur Syuhada Maisarah Joanis Abdullah.
Semoga anugerah yang disampaikan ini lebih memberikan suntikan motivasi buat semua pendakwah untuk terus berusaha dalam menyampaikan Islam kepada semua.