Adakah Al Quran menepati fakta-fakta ilmu sains masa kini?
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran adalah benar…” (Surah Fussilat, 41:53)
Al-Quran, kitab suci Islam, adalah kitab panduan Allah bagi umat manusia dan merupakan siri wahyu kepada Nabi Muhammad sebagai Rasul terakhir.
Walaupun Al-Quran (diturunkan lebih daripada 1400 tahun yang lalu) bukannya kitab ilmiah, namun kitab ini mengandungi fakta-fakta sains yang baru sahaja ditemui melalui teknologi canggih dan pengetahuan saintifik. Islam mendorong kajian terperinci dalam ilmu sains kerana memahami hakikat penciptaan akan membolehkan manusia lebih menghargai Pencipta mereka dengan kekuasaan dan kebijaksanaanNya.
Al-Quran diturunkan semasa sains masih primitif; tidak ada teleskop, mikroskop atau sesuatu yang hampir dengan teknologi masa kini. Ketika itu manusia percaya bahawa matahari berputar mengelilingi bumi dan langit disokong oleh tiang di sudut bumi yang rata. Di sebalik latar inilah Al-Quran diturunkan, dengan mengandungi banyak fakta ilmiah mengenai berbagai perkara, dari astronomi ke biologi, dari geologi hingga zoologi.
Beberapa fakta ilmiah yang terdapat dalam Al-Quran termasuklah:
1. Asal Kehidupan
Air ditunjukkan sebagai asal usul kehidupan. Semua makhluk hidup terbuat dari sel dan kita sekarang tahu bahawa kebanyakan kandungan sel-sel adalah terdiri daripada air.
Fakta ini ditemui hanya selepas penciptaan mikroskop. Di padang pasir Arab, mungkin mustahil untuk terfikir adanya seseorang akan meneka bahawa kehidupan berasal daripada air.
“…Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air, maka mengapa mereka tidak beriman?” – Surah Al-Anbiya’ ayat 30.
2. Perkembangan Embrio Manusia
Firman Allah tentang perkembangan embrio (janin) manusia:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada saripati (berasal) dari tanah. Kemudian kami jadikan air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian air mani itu kami jadikan sesuatu yang melekat. Kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. Kemudian, Kami jadikan ia makhluk yang (berbentuk) lain. Maha Suci Allah, Pencipta yang paling baik.” – Surah Al-Mukminum ayat 12-14
Perkataan Arab ‘alaqah’ mempunyai tiga makna: lintah, benda yang tergantung dan gumpalan darah. ‘Mudghah’ bermaksud bahan yang dikunyah. Para saintis berpendapat penggunaan perkataan tersebut tepat dalam pemahaman pembangunan proses janin. Tidak banyak yang dapat diketahui tentang tahap dan klasifikasi janin manusia sehinggalah kurun yang ke-20. Fakta yang terdapat di dalam Quran ini tidak mungkin berdasarkan kepada pengetahuan sains pada kurun ke-7.
3. Peluasan Alam Semesta
Pada saat sains Astronomi masih primitif, ayat berikut dalam Al-Quran telah diturunkan:
“Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan Kami benar-benar meluaskannya.” – Surah Az-Zariyat ayat 47
Salah satu maksud ayat di atas adalah bahawa Allah yang meluaskan alam semesta ini. Makna yang lain pula adalah bahawa Allah yang menyediakan, dan berkuasa ke atas seluruh alam ini.
Fakta bahawa alam semesta ini sedang berkembang (contohnya, planet bergerak menjauhi antara satu sama lain) telah ditemui pada abad yang lalu. Ahli Fizik Stephen Hawking dalam bukunya ‘A Brief History of Time’ menulis, “Penemuan bahawa alam semesta berkembang adalah salah satu revolusi intelektual hebat abad kedua puluh. “
Al-Quran merujuk kepada pengembangan alam semesta sebelum penemuan teleskop!
4. Besi Dihantar Ke Bumi
Besi bukan logam semulajadi di bumi, kerana ia datang ke bumi ini dari angkasa lepas. Para saintis telah menemui bahawa pada berbilion tahun yang lalu, bumi dilanda meteorit yang membawa besi dari bintang yang telah meletup.
Allah menggunakan perkataan ‘turunkan’. Fakta bahawa besi dihantar ke bumi dari angkasa lepas adalah sesuatu yang tidak dapat diketahui oleh sains primitif abad ketujuh.
“…Dan Kami turunkan besi yang mempunyai kekuatan yang hebat dan memberi manfaat yang banyak kepada manusia…” – Surah Al-Hadid ayat 25
5. Perlindungan Langit
Langit memainkan peranan penting dalam melindungi bumi dan penghuninya daripada sinar matahari yang boleh membunuh, serta kesejukan ruang angkasa.
Allah meminta kita untuk berfikir tentang langit melalui ayat berikut:
“Kami menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara. Namun mereka berpaling dari tanda-tanda kebesaran kami (Allah) yang ada padanya.” – Surah Al-Anbiya ayat 32
Al-Quran menegaskan bahawa langit sebagai pelindung kepada bumi, suatu fakta yang hanya ditemui melalui penyelidikan sains yang dilakukan pada kurun kedua puluh.
6. Pergunungan
Allah menarik perhatian kita kepada ciri penting gunung:
“Bukankah Kami yang telah menjadikan bumi sebagai hamparan dan gunung ganang sebagai pancang pasak nya?” – Surah Al-Naba’ ayat 6-7
Al-Quran secara tepat menerangkan akar gunung-ganang dengan menggunakan perkataan ‘pasak’. Gunung Everest, sebagai contoh, mempunyai ketinggian kira-kira 9km di atas permukaan bumi, sedangkan kedalaman akarnya lebih daripada 125km!
Fakta bahawa gunung mempunyai akar seperti pasak tidak diketahui sehingga pengembangan teori tektonik plat pada awal abad kedua puluh. Allah juga mengatakan dalam Al-Quran (dalam Surah An-Nahl ayat 15) bahawa gunung-ganang berperanan dalam menstabilkan bumi ‘…agar tidak bergoncang,’ dan ianya baru mula difahami oleh para saintis.
7. Orbit Matahari
Pada tahun 1512, ahli astronomi Nicholas Copernicus mengemukakan teori bahawa matahari tidak bergerak di pusat sistem solar dan planet-planet bergerak mengelilinginya. Kepercayaan salah ini tersebar luas dalam kalangan ahli astronomi sehingga abad kedua puluh. Fakta yang diterima kini ialah matahari bergerak di orbitnya di sekitar pusat galaksi Bima Sakti.
“Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing beredar pada garis edarnya.” – Surah Al-Anbiya’ ayat 33
8. Gelombang Dalaman di dalam Lautan
Umumnya, gelombang disangkakan hanya terjadi di permukaan lautan. Namun, ahli oseanografi telah menemui bahawa ada gelombang dalaman yang berlaku di bawah permukaan laut yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia dan hanya dapat dikesan oleh peralatan yang khusus.
“atau (keadaan orang-orang kafir) seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh gelombang demi gelombang, di atasnya ada lagi awan gelap…” – Surah Al -Nur ayat 40
Huraian ini sangat mengagumkan kerana 1400 tahun yang lalu tidak ada peralatan khusus untuk menemui gelombang dalaman di dalam lautan.
9. Berbohong & Bergerak
Ada seorang pemimpin kabilah yang kejam pada zaman Nabi Muhammad SAW. Allah menurunkan ayat untuk memberi amaran kepadanya:
“Sekali-kali tidak! Sekiranya dia tidak berhenti, nescaya kami tarik ubun-ubunnya. Ubun-ubun yang berdusta dan berdosa” -Surah Al-Alaq Ayat 15-16
Allah tidak memanggil orang ini sebagai pembohong, tetapi memanggil ubun-ubunnya (bahagian depan otak) sebagai pembohong dan berdosa, dan memberi peringatan kepadanya untuk berhenti. Banyak kajian mendapati bahagian depan otak kita (frontal lobus) yang terletak di ubun-ubun bertanggungjawab untuk berbohong dan pergerakan sukarela, dan dengan itu berdosa. Fungsi-fungsi ini ditemui dengan peralatan pengimejan perubatan yang dibangunkan pada abad kedua puluh.
10. Dua Laut yang Tidak Bercampur
Mengenai laut, Pencipta kita mengatakan:
“Dia membiarkan dua laut mengalir yang (kemudian) bertemu. Di antara kedua-duanya ada batas yang tidak dilampaui oleh masing-masing.” – Surah Al-Rahman Ayat 19
Kekuatan fizikal yang dipanggil ‘tegangan permukaan’ menghalang air laut yang berdekatan daripada bercampur kerana adanya perbezaan ketumpatan kedua-dua air. Seolah-olah dinding nipis berada di antara mereka. Fakta ini hanya baru-baru ini sahaja ditemui oleh para oseanografi.