Kembara Silaturrahim Gabungan Dakwah Malaysia Ke Negeri Dibawah Bayu Sempena Tadau Kaamatan Harmoni 2019

21 Julai 2019 (Ahad)_Tadau Kaamatan Harmoni (patuh syariah) merupakan kali ke enam disambut oleh masyarakat pribumi di Sabah sebagai pengenalan bagi menengahkan budaya momogun muslim (Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Sungai dan semua sub-etnik berkaitan) yang selari dengan norma-norma Islam.

Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti yang menarik diadakan khasnya seperti pesta makanan, sukan rakyat, pameran kraftangan, pertandingan-pertandingan yang bercirikan identiti dan budaya masyarakat pribumi Sabah.

Pertandingan Pembarisan

Program telah ini diadakan di 20 buah daerah iaitu Nabawan, Trus Madi, Sipitang, Kuala Penyu, Matunggong, Tongod, Beluran, Telupid, Ranau, Kota Marudu, Kundasang, Papar, Tamparuli, Sook, Keningau, Tambunan, Tenom, Kudat dan Selangor serta kemuncaknya di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu bagi sambutan peringkat Negeri Sabah.

Rata-rata mereka yang hadir dalam sambutan Tadau Kaamatan Harmoni (TKH) adalah mualaf atau Saudara Baru. Ramai dalam kalagan mereka ini menyambut sambutan ini sebelum ini sekadar meraikan keluarga dan terpaksa menyambutnya dengan rasa serba salah kerana sambutan sedia ada melibatkan upacara yang bertentangan dengan syariat Islam seperti pemujaan dan penyembahan semangat padi dan juga meminum minuman keras. Malahan pakaian tradisi etnik mereka juga tidak lagi dipakai.

Program ini merupakan anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (PKDMMS) bersama Hidayah Centre Foundation & IKRAM Sabah yang merupakan ahli dalam Gabungan Dakwah Malaysia.

Beberapa Ahli Jawatankuasa Gabungan Dakwah Malaysia tidak melepaskan peluang menyertai dan merasai sendiri pengalaman berdakwah di Sabah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *