100 Asatizah Turun Berdakwah kepada Masyarakat

MELAKA – Seramai 100 orang asatizah iaitu guru-guru Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dari negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah mengikuti Daurah Mursyid Dakwah yang diadakan bermula dari 16 hingga 18 April 2019 baru-baru ini. Program yang dianjurkan oleh Gabungan Dakwah Malaysia, Hidayah Centre Foundation, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia dan
Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-Sekolah, Malaysia (PEKDIS) ini telah diadakan di TF Riverside Hotel, Melaka.

Dalam program yang berlangsung selama tiga hari ini, para peserta dilatih mengenai ilmu dan kemahiran berdakwah secara teori dan praktikal oleh penceramah yang berpengalaman.  

Hari kedua (Rabu 17 April 2019), kesemua peserta yang terdiri daripada 100 orang asatizah telah turun sendiri menjalani praktikal “street dakwah” di sekitar bandar Melaka. Para asatizah telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan kawasan yang berbeza seperti di Menara Taming Sari, Mahkota Parade, Muzium Maritim , Jonker Walk dan Ocean Mall yang sering menjadi perhatian pelancong bukan Islam.

Para asatizah menjalankan kaji selidik mengenai kefahaman masyarakat bukan Islam mengenai Nabi Muhammad. Mereka juga turut memberikan penerangan kepada masyarakat bukan Islam yang ditemui sepanjang program street dakwah ini. Rata-rata masyarakat bukan Islam yang ditemui masih kurang pengetahuan mengenai agama Islam dan Nabi Muhammad. Para asatizah turut mengedarkan pelbagai risalah berkaitan agama Islam secara percuma kepada semua orang bukan Islam yang ditemui.

Majlis perasmian penutup penutup Daurah Mursyid Dakwah ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Hj. Ahmad Hamizi bin Abu Hassan, Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Semoga program Daurah Mursyid Dakwah yang dianjurkan ini dapat memberi kemahiran dan persiapan kepada semua Guru Pendidikan Islam dalam memahami kewajipan berdakwah dan menyampaikan mesej Islam kepada semua masyarakat bukan Muslim.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *