SAMBUTAN RAYA HARMONI 2018 DIRAIKAN PELBAGAI KAUM

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah sempurna merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri Harmoni 2018 di perkarangan Restoran Mohd Chan, Taman Melawati semalam. Majlis ini merupakan anjuran bersama Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO (ACCIN) dan Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA) dengan kerjasama dan tajaan lebih dari seratus persatuan NGO lain termasuk Hidayah Centre Foundation, Haluan, Persatuan Belia Harmoni Malaysia, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

     

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan semua pendakwah untuk sentiasa memperbaiki dan menghiasi diri dengan akhlak yang baik supaya dapat mengurangkan jurang antara sesama manusia. Beliau juga mengakui bahawa tugasan pendakwah adalah amat berat dan seharusnya pendakwah menitikberatkan teladan yang baik bagi memastikan dakwah yang berkesan terhasil untuk menarik mereka yang bukan Islam. Kepetahan bercakap sahaja tidak memadai bagi seorang pendakwah dalam menyampaikan kefahaman Islam dan keberkesanan dakwah kepada masyarakat di luar sana.

Kira-kira 5000 orang tetamu telah hadir memeriahkan majlis tersebut yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga jam 3.00petang. Tetamu-tetamu adalah terdiri daripada saudara baru,orang kelainan upaya (OKU), orang tua-tua juga masyarakat orang asli dari Desa Temuan Bukit Lagong, Selayang, masyarakat bukan Islam dan ramai lagi penduduk sekitar yang memeriahkan suasana majlis tersebut.

Rangkaian Restoran Mohd Chan telah menaja jamuan makanan utama pada majlis tersebut dengan menyediakan mi kari, nasi beserta masakan lauk-pauk Cina muslim, dim sum, pau dan pelbagai lagi. Selain itu, gerai-gerai NGO lain juga turut sama menyediakan makanan seperti sate, lemang periuk kera, rendang, ketupat, nasi lemak, kek dan kuih muih.

Pelbagai acara menarik juga telah diadakan sepanjang majlis diadakan dengan melibatkan penyertaan pelbagai etnik dan kebudayaan antaranya tarian singa, peragaan pakaian mengikut syariat pelbagai budaya dan persembahan nasyid kanak-kanak. Selain itu, Pengerusi GDM, Tuan Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah telah menyampaikan bantuan kerusi roda kepada rumah-rumah kebajikan orang tua.

Semoga penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Harmoni 2018 ini dapat mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk pelbagai agama dan kaum di Malaysia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *