SIDANG AKHBAR PERTANDINGAN AKHIR MYDAIE (PROGRAM LATIHAN PENDAKWAH MUDA)

World Assembly of Muslim Youth (WAMY) Malaysia akan menganjurkan Pertandingan Akhir MyDaie (Program Latihan Pendakwah Muda) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Gabungan Dakwah Malaysia (GDM). Program MyDaie ini telah bermula pada 9-11 September 2017 sempena Multaqa Pendakwah Muda Serantau (MUDA’17) dan berlangsung selama 6 bulan dengan tiga kali pertemuan.

Objektif utama MyDaie adalah untuk melahirkan pendakwah muda yang mempunyai daya kepimpinan, pengetahuan dan kemahiran untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Dengan tema, “Mengubah Persepsi Dakwah ”, MyDaie berharap akan menjadi salah satu platform untuk para remaja dan belia untuk melakukan anjakan paradigma mereka terhadap aktiviti dakwah sekaligus megubah persepsi rakan sebaya dan masyarakat seluruhnya tentang pengertian dakwah yang sebenar. Pihak penganjur berharap inisiatif awal ini dapat membantu mencapai matlamat perpaduan negara melalui perkongsian harmoni dan beradab di kalangan pelbagai etnik dan agama, sesuai dengan Islam sebagai agama persekutuan Malaysia yang pastinya memberi rahmat dan kebaikan kepada semua (Rahmatan Lil’alamin).

Seramai 100 orang pelajar yang terdiri daripada mahasiswa/i dan pelajar sekolah menengah telah menghadiri program ini dalam sesi pertama dan kedua yang dilatih oleh para ilmuan, pendakwah dan jurulatih dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) khusus berkaitan ilmu-ilmu asas dakwah dan kemahiran kepimpinan.

Sesi terakhir latihan ialah pada 29-31 Mac 2018 dan kemuncak program ialah Pertandingan akhir MyDaie sekaligus sebagai majlis penutup yang akan dilakukan oleh YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajid (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri). Ia akan dijalankan dalam bentuk bengkel latihan akhir, praktikal dakwah (street dakwah) dan 3 pertandingan bertemakan dakwah – “Meniti Lensa Islam”.

3 pertandingan itu adalah:

1. Pengucapan Awam – Tazkirah MyDaie
2. Reka Infografik
3. Filem Pendek – Terbuka kepada semua pelajar sekolah & IPT

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *