Sambutan Hari Raya Harmoni 2017 : Membawa Mesej Perpaduan Dan Keharmonian Dalam Masyarakat Majmuk

Demikian lah di antara matlamat Program Hari Raya Harmoni 2017 yang telah berlangsung dengan penuh meriah di Masjid Wilayah Persekutuan pada Ahad, 16hb Julai. Kehadiran lebih kurang 2 ribu rakyat berbilang bangsa dan agama di majlis tersebut sememangnya memberikan peluang untuk mengeratkan hubungan siraturrahim bukan sahaja sesama umat Islam tetapi juga di kalangan masyarakat majmuk yang sama-sama hadir untuk meraikan perayaan Hari Raya ini.

 

Sambutan Hari Raya Harmoni 2017 ini merupakan usahasama yang pertama yang dianjurkan oleh 3 gabungan organisasi Islam di Malaysia iaitu Protem Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Allied Committee of Islamic NGO (ACCIN) dan Gabungan Ahli Sunnah Malaysia (GASMA). “Sambutan anjuran bersama ini melambangkan kesatuan di kalangan NGO muslim” berkata Hj Nicholas Sylvester, Pengerusi GDM, dalam ucapan beliau. Sebanyak 12 organisasi dari 3 gabungan ini telah tampil untuk bergabung tenaga menjayakan penganjuran program ini. “Ini merupakan satu usaha permulaan dan kami mengharapkan majlis serupa ini akan menggabungkan lebih banyak NGO-NGO muslim di masa hadapan” sambung beliau.

Di dalam ucapan tetamu khas yang telah diundang, Shaykh Hussain Yee, beliau mengingatkan umat Islam tentang konsep ‘Kongsi Masjid’ di mana masjid itu seharusnya memainkan peranan yang besar sebagai suatu tempat untuk menyatukan umat kerana agama Islam itu bukan lah kepunyaan satu bangsa tetapi adalah untuk semua kaum. “Allah telah mengutuskan Nabi Muhammad sebagai Rahmatan lil alamin kerana Islam adalah agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan bagi seluruh alam semesta” ujar beliau. “Dengan ini, adalah menjadi tanggung jawab kepada semua umat Islam untuk menjadi umat contoh yang mencerminkan keindahan agama Islam” sambung beliau.

 

Turut hadir sebagai tuan rumah dan merasmikan majlis tersebut adalah Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Tn Hj Zakaria bin Isa. “Kami amat merasa bangga dan seronok dengan kehadiran berbagai bangsa di perayaan Raya Harmoni ini dan mengucapkan tahniah kepada penggerak program ini yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan nya” berkata beliau. Beberapa kata-kata aluan juga telah disampaikan oleh Pengerusi ACCIN, Ir Mohd Jamaluddin Shamsuddin dan Timbalan Pengerusi GASMA, Ustaz Ahmad Fazrin Bin Yahaya.

Majlis ini juga telah meraikan mereka-mereka yang kurang bernasib baik termasuk dari golongan anak-anak yatim dan orang-orang tua dari kalangan muslim dan non-muslim. Di antara mereka yang telah diundang adalah anak-anak yatim dari Madarasah Hashimiah dan Persatuan Kebajikan Rumah Jalinan Kasih Anak Yatim/Miskin Selangor, orang-orang tua dari Sincere Care Home (Kajang) serta saudara baru dari Pertubuhan Momogun Muslim seMalaysia.

Pelbagai jenis juadah tradisional Melayu dan juga masakan Chinese Muslim yang ditaja oleh Dato’ Mohd Chan dari Restoran Mohd Chan telah dihidangkan di majlis tersebut. Beberapa aktiviti seperti booth pameran NGO muslim dan program “Masjid Tour” juga telah diadakan sebagai usaha untuk membuka minda dan hati masyarakat majmuk untuk melihat keindahan agama Islam dari lebih dekat.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *